Khamis, 11 Jun 2009
IQRA' 1
Buat pertama kalinya entri iqra’ ini akan aku ceritakan buku yang aku baca buat masa ini. Sebetulnya aku bukan mahu mengkritik/menilai novel/buku kerana aku tahu aku tidak mempunyai bakat untuk berbuat begitu sebaliknya apa yang ingin aku tuliskan di sini lebih kepada apa yang aku faham secara ringkasnya buku yang aku baca. Enrique mengundang jauh karya H.M. Tuah Iskandar ini bagi aku ianya merupakan naskah yang mampu dimiliki oleh semua golongan penggemar sastera. Aku beli novel ini dengan harga RM22.00. Novel ini merupakan finalis Hadiah Sako 2 bagi novel nasional.
Seperti tajuknya ’Enrique mengundang jauh’ novel ini bagi aku memang membawa aku jauh merantau sehingga menjejak sejarah lampau Panglima Awang aka Ariberto aka Enrique di zaman Kesultanan Melayu Melaka dan juga mengenai penjajahan Portugis ke atas Melaka. Cerita mengenai pelayarannya sebagai manusia dan anak Melayu pertama yang dikatakan mengelilingi dunia. Selain itu novel ini juga membawa aku ke negara-negara yang jarang-jarang ingin aku ketahui seperti Bulgaria, Romania, Hungari dan sebagainya melalui catatan pengembaraan yang ditulis oleh watak Manzil pemuda tahun 60an yang mengembara atas semangat Panglima Awang dan bangsa Melayu untuk merealisasikan impian menjadi penakluk mencari hak Melayu di bumi Eropah seterusnya menjejak saki baki keturunan Panglima Awang.
Konflik bermula apabila pemuda Britain, yang tidak berwajah tipikal pemuda Eropah tulen tetapi memiliki jalur wajah separa Eropah dan Asia iaitu Lester Roylizam anak jutawan Lambert Cale, ingin mencari asal usul dirinya dan tanpa dirancang menjadi pelarian/PATI di bumi Malaysia. Sepanjang pelariannya dan akhirnya menjadi tahanan pendatang tanpa izin dia bertemu dengan watak-watak seperti Mei Hua gadis Malaysia berketurunan Cina, Tuk Wi aka Ayahanda Kawi yang tebal dengan semangat cintakan negara dan membenci penjajah. Terlebih dahulu watak Sofia, Naria (isteri dan anak Manzil), dan Sophia si jelitawan Bulgaria yang Ateis pula ditemui oleh Lester Roylizam melalui catatan Manzil yang diberikan oleh Tok Wi sehingga membawa kepada pencarian dan pertemuan mereka di dunia realiti serta akhirnya menjawab persoalan asal usul dirinya, hubungan jutawan Lambert Cale dengan Manzil, dan juga hubungan watak-watak lain di dalam catatan Manzil dengan dirinya.
Bagi aku, novel ini mudah difahami selain memberi banyak informasi mengenai sejarah, masyarakat di negara tertentu, cabaran dan ketakutan menjadi pelarian pendatang tanpa izin, keadaan bagaimana menjadi pengembara di negara Komunis sekitar tahun 60an, juga novel ini menyentuh aspek agama, dakwah, semangat bangsa Melayu dan yang paling menarik semakin jauh aku membaca dan memahami watak Manzil dan Lester Roylizam yang berbeza zaman, tempat dan usia, ternyata watak itu sebenarnya dekat antara satu sama lain.
Sejujurnya, novel ini boleh dikatakan agak menarik juga garapan ceritanya, dan bak kata rakanku Sarah, ianya mempunyai kelebihan tersendiri walaupun aku dan mungkin juga Sarah (Sarah sebenarnya lebih mengkagumi karya Hizairi Othman) lebih mengkagumi karya Faisal Tehrani. Di bawah ini aku sertakan ayat-ayat yang terdapat di kulit belakang novel ini.
”Jauh. Mulanya dekat. Dan jarak hanyalah mendala relatif, justeru erti dekat selalu memaknakan jauh, sementelahan makna jauh membanding erti dekat. Dan perjalanan menjelajah buki atma, dibawa sejauh mana pu ke seantero dunia, tetap kembali. Ke titik paling dekat. Diri”
”Enrique---- Mengundang Jauh- cerita tentang orang berpergian jauh-cerita tentang gelora akibat jauh-cerita tentang kehebatan bangsa yang dibenam jauh”
”Enrique---- Mengundang Jauh ekspedisi keliling dunia mengabsah sejarah: Bahawa manusia Melayu Panglima Awang@ Ariberto@ Enrique manusia pertama membuktikan bulatnya bumi.
Selamat membeli, meminjam dan juga membaca!!!!
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
sarah suka buku ni, kebetulan time baca buku ni lepas baca 1515, jadi ada banyak soalan and kait mengait antara novel ni yang buat sarah terfikir persamaan dan perbezaan sejarahnya. apapun, lagi suka 1515 agaknya, tapi novel ni pun ada kelebihannya.
BalasPadam