Gundah. Bagi aku gundah itu dekat dengan suram. Hampir pada sendu. Sama erti dengan sedih. Jauh sekali memaknakan erti bahagia dan lapang rasa. Anugerah rasa dari Tuhan buat sekalian manusia untuk mereka tahu apa itu pahit, perit, sakit, gelisah dan sekalian rasa yang tidak enak, tanpa mampu untuk ditelan atau diluahkan. Ya, penafsiran gundah itu berbeza-beza mengikut manusia.
Ingin aku khabarkan kisah gundah sahabatku di sini. Gundah dia gundah rindu. Rindu pada teman yang jauh. Jauh di perlembahan Nil. Kata temannya, jika berhati gundah rindukan dirinya, sedekahkan Al-Fatihah berulang-ulang kali kepadanya. Kenapa dan mengapa jangan ditanya. Aku tiada jawapan. Kelmarin aku mendengar sedih dan sayu derita sahabatku yang lain. Cerita tentang hati dan rasa. Cerita hati yang gundah dan rasa yang sakit melingkar hanya kerana hati dan rasa itu dinafikan. Sungguh, hingga saat ini sahabatku itu derita. Derita yang dibawa pulang setelah berpergian jauh kembara ilmu ke bumi anbiya'.
Di luar sana, ada mereka yang gundah dengan nasib bangsa kami, apa akhirnya. Masih tersakti lagikah ungkapan Tuah "Takkan Melayu hilang di dunia" untuk 50 tahun lagi. Mungkin Melayu telah pupus. Tersungkur lenyap di tanah sendiri. Sedangkan kini Melayu itu sudah rebah, ibarat ada dalam tiada. Hanya mewariskan genetik Melayu tanpa mewariskan apa itu 'pakaian' Melayu. Gundah mereka ini juga, gundah pada agama kami. Agama yang difirman oleh Tuhan yang Esa, agama yang benar. Mencorak hidup manusia dari nutfah hingga merintis jalan akhir sampai ke Sorga. Nabi kami, Rasulullah SAW kekasih Tuhan yang dikasihi kami itu gundah akan umatnya. " Di akhir zaman kelak, umatku ramai, tetapi mereka ibarat buih-buih di lautan kerana mereka telah ditimpa penyakit akhir zaman, iaitu penyakit al wahan, cintakan dunia dan takut mati ". Ya, buih-buih di lautan. Ramai dan banyak tetapi pada nama. Bagi sekalian ramainya umat Muhammad itu, Islam itu cukup hanya di atas kepingan kad-kad pengenalan, helaian sijil-sijil kelahiran atau di atas sijil-sijil nikah, dan belum tentu serta tiada jaminan lagi kini, Islam juga yang tertera di atas sijil-sijil kematian mereka. Bertapa nazak dan sesaknya saudara-saudara seagamaku!.
Gundah aku bukanlah gundah kerana rindu atau hati dan rasa aku dinafikan. Ini juga bukan bermaksud hati dan rasa aku sentiasa diterima. Tidak. Tidak pernah walau sekali. Gundah aku, gundah memikirkan hal-hal rencam dalam hidupku. Hal-hal yang difikir oleh mereka yang tidak lagi menuntut ilmu dan tidak pula bekerja. Ya, aku juga memikirkan tentang bangsa dan agamaku juga sama seperti mereka yang peduli itu. Ungkapan Saidina Umar Al-Khattab ini mungkin berguna untuk direnung dalam-dalam. "Tidak kamu berasa gundah walau sekali, jika kamu tahu apa yang kamu cari"...
Buat sahabatku 'A', sedekahkan Al-Fatihah buat temanmu itu, jika benar ianya mampu mengubat rindumu. Buat sahabatku yang derita itu, la' tahzan! Aku harap kamu berjaya mencari redha. Agar redha yang dicari itu, dapat membujuk hatimu yang walang. Buat mereka yang peduli yang sama seperti aku; peduli pada bangsa dan agama, aku mohon sangat mereka terus diberi kekuatan oleh Tuhan untuk menyedarkan bangsa kami bahawa agama dan adat yang dujunjung itu semakin parah dan tenat...Maka berubahlah, kembalilah kepada asalmu!!.
Untuk jiwaku, jangan gundah. Kerana rezeki itu telah dijanjikan Tuhan. Mungkin sulit rezekiku kerana kifarah di atas lalai dan leka mentaati Tuhanku. Kifarah di atas lalai dan leka untuk jiwaku dari terus mengasihi kekasih Tuhanku, juga kifarah kerana ada derhaka yang telah aku tumpahkan terhadap kedua orang tuaku.
Aku bermohon sangat kepada Tuhanku, Allah yang maha pemurah dan maha penyayang, Raja seisi langit dan bumi agar diampunkan khilafku dan khilaf mereka di luar sana...
Moga esok tiada gundah dijiwaku dan jiwa-jiwa mereka...
salam sahabatku.
BalasPadamain,moga kita akan cepat mengatasi "masalah" ni dengan kadar segera...huhuhu...hari2 gundah gulana perasaan ni..adakala mcm tiada ber"perasaan" dalam diri ini dan yg tinggal hanyala secebis kesabaran dalam penantian...